Monday, 28 May 2012

Perihal Bunian

Assalamualaikum. Dengan kehendak Allah, kita bertemu lagi. Aku rasa sebelum ni aku terlalu formal didalam penulisan aku. Tak menarik nak dibaca, kan? Mulai post ni aku akan tukar stail penulisan aku. Aku bergelar Panglima Bentara Tujuh, penjaga dan Bentara kepada Puteri Nur, warisan terakhir bunian-manusia. Di alam kita manusia, Puteri Nur ialah kakak sepupuku. Di alam Bunian, dia ialah warisan terakhir Bunian Pemerintah Nusantara yang merupakan kacukan manusia dan Bunian. Aku telah dipilih untuk menjadi perantara bagi Para Bunian melalui Puteri Nur. Tugasku mencatat dan menceritakan semula apa yang disampaikan kepada ku supaya dapat dijelaskan kepada manusia apa yang tak betul mengenai kaum Bunian.

Kita selalu dengar, lihat dan baca macam-macam kisah mengenail Alam Bunian dan Alam Jin. Ada yang kata Bunian ni hasil perkahwinan antara manusia dan jin. Ada jugak yang cakap Bunian ni syaitan dan iblis yang memperdaya manusia. Satu cerita lagi ialah Bunian berasal dari satu kaum manusia yang malu. Tak kurang juga yang kata ada Bunian Islam dan kafir. SubhanAllah, bukan! Bunian ni makhluk ciptaan Allah yang dijadikan dari cahaya. Macam malaikat cuma malaikat tak makan, tak minum, tak tidur, tiada jantina, cuma buat tugas masing-masing. Malaikat jugak pernah menzahirkan diri dalam bentuk manusia tetapi tu hanya pada zaman Nabi. Bunian fizikalnya macam manusia. Tapi sebab mereka daripada cahaya, mereka tak dinampak oleh manusia biasa. Mereka hidup lama. Ribuan tahun. Tugas mereka ialah beribadat kepada Allah - solat, zikir, zanji - dan membantu manusia yang dianiaya. Mereka juga merupakan ulama-ulama yang mana mengajarkan agama Islam kepada jin-jin kafir yang ingin memeluk agama Islam. Raja-raja Bunian pula bertempur dengan iblis dan jin kafir dan memusnahkan jin yang ingkar. Mereka macam kita juga. Ada keluarga, hidup bermasyarakat. Bunian dijadikan dari cahaya, jadi mereka boleh bergerak sepantas cahaya. Mereka juga bukan sentiasa berpakaian putih, hanya ketika solat dan menghadap raja-raja mereka. Mereka amat gemarkan bunga-bunga. Bunga memberikan tenaga kepada mereka. Alam Bunian pula berkeadaan lembap dan tidak cahaya matahari. Alam Bunian bukanlah berada di dalam hutan seperti yang diceritakan.

Puteri Nur bakal mewarisi takhta nendanya. Takhtanya berupa seperti pelamin Jawa bertatahkan batu-batu permata delima, zamrud yang bentuknya tidak seperti di dunia nyata. Lantai takhtanya kaca. Sepatu diraja Puteri Nur dibuat daripada sejenis logam seperti besi tetapi bukan besi. Puteri Nur sendiri tak faham ia dari apa. Mahkota Bunian berwarna tembaga dan bentuk berbeza mengikut usia mereka. Saiz mahkota tersebut juga berbeza, mengikut umur mereka. Ibarat tanduk rusa yang tumbuh. Yang manusia tarik seperti yang kita baca dan lihat di internet tu bukan mahkota Bunian sebenar. Tu semua kerja jin-jin kafir yang nak sesatkan manusia dan aniaya Bunian. Bukan harta Bunian! Bunian tak bagi harta pada manusia. Untuk apa nak bagi manusia harta? Harta Bunian kalau dibawa ke dunia nyata akan menyakitkan mereka jika bukan diserahkan kepada waris. Bagi Bunian, untuk apa bagi harta? "Sedangkan kami tahu harta itu akan hanya menyesatkan dan membawa kepada pertelingkahan", kata Puteri Nur.

Bunian tak makan daging atau haiwan kerana kepada mereka, itu pembunuhan. Mereka hanya makan tumbuh-tumbuhan dan sayuran. Mereka ini juga semuanya alim-ulama. Mereka sering membincangkan hal-hal berkaitan agama Islam.

Seperti yang telah aku jelaskan di awal blog ini, para Bunian telah diturunkan ke Dunia bersama-sama dengan Nabi Adam AS. Mereka merupakan rahsia Allah, sebab tu tak disebut dalam Al-Quran. Allah Maha Bijaksana, dijadikan Bunian dan Jin Islam untuk membantu dan melindungi manusia daripada iblis dan jin kafir. Bayangkan Nabi Adam baru dijadikan, turun ke Dunia tak tahu apa-apa. Bunian dan Jin Islam telah ditugaskan untuk membantu manusia, mengajar kita bagaimana bercucuk-tanam, membina rumah. Mereka juga yang telah membantu Nabi Ibrahim membina Kaabah, Nabi Nuh membina bahtera, dan juga Nabi Muhammad di dalam peperangan menentang Kafir Quraisy. Para Bunian jugalah yang mendorong bakul yang membawa Nabi Musa ke istana Firaun untuk menyelamatkannya. Malah, Para Bunian turut ada ketika Nabi Sulaiman ingin mengalihkan takhta Puteri Balqis. Tetapi kaum Bunian dan Jin Islam difitnah dan dianiaya oleh iblis dan jin-jin kafir. Bunian amat sukar membiak. Tetapi mereka ada di merata-rata, membantu manusia yang teraniaya - dengan Izin dan Kehendak llah Subhanahu Wataala. Puteri Sari yang ku kenali boleh berbicara di dalam pelbagai bahasa, termasuk Bahasa Inggeris, Jepun, Rusia dan Belanda. Mereka juga mempunyai teknologi seperti kita, cuma teknologi mereka jauh lebih maju dari kita.

Kita sering disogokkan dengan kisah tarik harta bunian, Bunian ni hantu dan syaitan, Bunian curi anak orang, dan lain-lain. Buat apa Bunian nak bagi harta kat manusia? Harta hanya membawa kepada hasad dengki, permusuhan, peperangan dan kemusnahan. Aku pernah melihat harta yang konon-kononnya ditarik dari alam Bunian. Bohong. Aku boleh cari benda yang sama kat Petaling Street! Harta Bunian berlainan daripada harta manusia. Jika dianugerahkan kepada kepada sesiapa, biasanya ada tujuan tertentu seperti untuk pengubatan atau mempertahankan diri. Bunian tidak akan memberikan harta kepada manusia jika harta tersebut diketahui akan membawa kepada kemudaratan. Seperti yang aku cakapkan tadi, Bunian merupakan alim-ulama. Mereka dijadikan dari cahaya, bukannya syaitan atau iblis yang memperdaya manusia, sebaliknya mereka yang membantu manusia. Yang mengganggu tu sebenarnya iblis dan jin kafir. Jin kafir yang memperdaya manusia dengan memberikan manusia pelbagai artifak seperti batu permata dan perhiasan serta kayu-kayu yang pelik. Mereka muncul di hadapan manusia dan menyamar sebagai Bunian. Iblis pula tahu ketakutan manusia. Mereka akan merupa menjadi apa yang ditakuti manusia. Itu yang kita panggil 'pontianak', 'pocong', 'toyol' dan sebagainya. Nanti aku cerita lagi pasal iblis dan jin kafir ni.

Sekian buat masa ni. Wassalam.

* Salam kepada para pembaca. Minta baca artikel terkini di dalam blog ini "Kebenaran mengenai Bunian" dan "Kebenaran mengenai Bunian II" untuk mendapat maklumat mutakhir mengenai Para Raja Bunian. Artikel di atas banyak menceritakan mengenai rakyat Bunian biasa, namun Para Raja-raja Bunian berbeza. Raja-raja Bunian serius di dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Mereka tidak berjenaka, gelak ketawa mahupun senyum. Mereka sentiasa bersenjata dan berperisai, sesuai dengan tugasan mereka membinasakan iblis dan jin kafir. Para Raja-raja Bunian juga bersayap dan mereka berada di seluruh dunia. Silalah baca artikel-artikel terkini untuk mengetahui lebih tentang Kebenaran mengenai Bunian. Wassalam. *

Sunday, 20 May 2012

Kewujudan Bunian

Assalamualaikum, kita bertemu lagi dengan kehendak Allah SWT. Tujuan hamba menitipkan kisah-kisah ini adalah untuk menjelaskan mengenai jin dan bunian yang sering disalahertikan oleh manusia. Hamba mendapat maklumat terus daripada sumbernya, iaitu kaum Bunian dan Jin Islam. Maklumat ini dikuatkan dengan fakta daripada kitab-kitab dan ulama-ulama yang hamba pernah temui.

Di kesempatan ini ingin hamba titipkan sedikit mengenai asal-usul bunian. Terdapat beberapa teori yang telah hamba baca mengenai kewujudan bunian ini. Salah satu daripadanya menyatakan bahawa bunian merupakan zuriat hasil daripada perkahwinan antara manusia dan jin. Ini adalah tidak benar sama sekali. Di dalam kitab feqah ada dinyatakan bahawa perkahwinan di antara jin dan manusia adalah haram. Panglima Utama turut menjelaskan bahawa perkahwinan di antara jin dan manusia adalah mustahil kerana manusia dan jin tidak sama sekali bentuk fizikal mereka. Beliau menggunakan contoh dirinya sendiri, jin harimau. Katanya mana mungkin harimau berkahwin dengan manusia? Hamba telah dijelaskan mengenai asal kewujudan bunian oleh Puteri Sari sendiri. Beliau merupakan puteri bunian yang mempunyai kerajaan di alamnya. Menurut beliau, bunian merupakan ciptaan Allah yang hampir sama dengan malaikat. Mereka turut dijadikan daripada cahaya. Tujuan mereka diciptakan adalah untuk membantu manusia di bumi.

Ketika nabi Adam AS diciptakan, Allah telah memerintahkan sekalian makhluk untuk sujud kepada nabi Adam. Semua makhluk telah menurut perintah Allah kecuali Azazil. Dia kemudiannya dimurkai Allah dan sebagai hukumannya, dia dihantar ke bumi. Namun begitu, Allah telah memperkenankan permintaannya untuk menyesatkan kaum manusia di bumi. Azazil kemudiannya dikenali sebagai Iblis. Asalnya merupakan makhluk tercantik dan terpandai, disumpah menjadi hodoh dan mengerikan. Nabi Adam juga telah dihantar ke bumi bersama Hawa. Allah Maha Bijaksana, diciptakanNya bunian untuk membantu manusia di bumi. Kewujudan bunian telah dirahsiakan dan tidak disebut di dalam Al-Quran namun mereka telah diutus bersama jin Islam untuk membantu manusia dan menentang iblis serta jin kafir. Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan manusia sendirian di bumi. Lihat sahaja kisah Habil dan Qabil yang telah berbunuhan sesama mereka. Bunian dan jin Islam telah ditugaskan untuk membantu umat manusia supaya dapat meneruskan kemandirian mereka.

Bunian akan mendampingi mereka yang terlalu teraniaya dan membantu mereka untuk meneruskan kehidupan. Secara fizikalnya, bunian menyerupai manusia. Namun bunian tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Oleh itu, perkahwinan antara manusia dan bunian boleh terjadi dan ada disebut di dalam kitab. Bunian diberikan kelebihan-kelebihan dan kuasa tertentu oleh Allah SWT supaya mereka dapat menjalankan tugas mereka terhadap manusia. Selain itu, tugas bunian ialah untuk beribadat kepada Allah. Mereka merupakan golongan alim ulama yang arif tentang agama. Mereka juga diberi kuasa untuk melihat masa lampau dan masa hadapan. Ungkapan yang menyatakan bahawa bunian adalah syaitan adalah tidak benar sama sekali. Bunian dijadikan dari cahaya. Mereka hampir sama kejadiannya dengan malaikat tetapi telah ditugaskan untuk mendampingi manusia yang teraniaya. Jangan terpedaya dengan golongan jin kafir dan iblis yang sering menyamar sebagai bunian untuk memperdaya manusia. Bunian suci, bersih dan tertib. Tidak mungkin bunian akan meminta yang bukan-bukan atau bercakap yang tidak benar. Hamba harap titipan hamba ini dapat sedikit sebanyak mengurangkan kekeliruan yang telah dihadapi manusia selama ini. Sehingga bertemu lagi, wassalam...

*Assalamualaikum para pembaca sekalian, ingin saya mempelawa saudara/saudari untuk membaca artikel terkini di blog ini, "Kebenaran mengenai Bunian" dan "Kebenaran mengenai Bunian II" untuk mendapat maklumat terkini mengenai Para Raja-raja Bunian. Wassalam.